Sabtu, 21 April 2012

Puisi: Cinta Beralas Kabus


PUISI:  CINTA BERALAS KABUS
Ketika dingin menyentuh mesra,
Mentari pula masih tersipu,
Dengan semangat Kinabalu,
Kau melangkah sambil tersenyum,
Di sini cintamu kau rakul padu...

Tiada pernah kau mengeluh kesah,
Kala beban disandar ke bahu,
Tika itu kau jadi tahu,
Ada perut perlu kau isi,
Ada mulut kau suap nasi,
Di hadapanmu ada mereka,
Di hadapanmu ada cinta.

Meski lantaimu dari tanah,
Meski tidurmu berdinding pepohon.
Bumbungmu kekadang beratapkan awan.
Lingkaran akar dan debunga harum,
Menjadi aroma langkah-langkahmu,
Cengkerit dan kicauan burung,
Menjadi halwa irama hatimu.

Kuntuman senyum masih mampu kau lontarkan,
Kata-kata semangat itu kecintaanmu,
Walau tak mampu kau berikan kemewahan,
Mengecap erti kehidupan itu lebih dari cukup.
Tiada pernah juga kau terlelap,
Pada satu janji dan tanggungjawab.
Itulah kisah cintamu Badang,
Sebuah cinta beralas kabus gunung Kinabalu.
Nukilan Rasa:
RAMLAH ABD RASID,
KOTA KINABALU.
21/04/2012

Puisi: Hujan dan Rindu

Puisi: Hujan dan rindu
Hujan terus menyapa,
Sambil menyanyi-yanyi riang,
Menjadi dondangan sayang,
Buat hati yang kian rawan,
Lantaran dari semalam,
Cahaya bulan terus menghilang,
Dibalik awan bintang juga menyepi,
Aduuuh dingin terus menyentuh tubuh,
Bermanja-manja tanpa silu,
Agaknya hujan juga ingin bersatu,
Biarlah hujan bertandang walau sedetik,
Kerana rindunya juga pada sang pelangi,
Yang lama menjadi igauan mimpi....

Khamis, 19 April 2012

PUISI: HATI DAN CINTA


Hati tak pernah berbohong,
Meski zahir semakin menjauh,
Merentangi dua benua,
Namun terasa di sebelah dinding,
Bila mimpi-mimpi ini menjadi teman,
Walau kenangan itu cuba dihumban,
sejauhnya ke dasar lautan.
Hebatnya sebuah cinta,
merangkul semua maknanya cita,
menjadi hati terus meronta,
betapa hati memang tak pernah berdusta,
kerana cinta kita jadi buta,
kerana cinta kita merana,
dan ketika takdir menyebelahi doa,
kuntuman senyum penyeri kata.
Hati dan cinta,
seumpama beluncas mencari diri,
berselindung dibalik kepompong putih,
di hujung dedaun menyembunyikan diri,
lalu muncullah seekor rama-rama,
menguak sayapnya indah sekali,
mencari kuntuman harum mewangi,
untuk menyampaikan kisah cintanya,
lalu disimpan di dalam kelopak bunga...
Dekatkanlah hatimu,
Rapatkanlah cintamu,
Jangan kau cuba bina ruang kosong,
lantaran rasa simpati juga kekesalan,
kerana kasih yang terpendam,
sehingga persoalan itu perlukan jawapan,
biarkanlah ia begitu sahaja,
biarkanlah ia berlalu bersama masa.

Selasa, 17 April 2012

Aduuuuh..!

Aduuuuh...
Berdentum guruh dan sambar menyambar kilat,
Awan cuba berlari meninggalkan hujan,
Agar pelangi muncul dengan jalur warnanya,
Kerana sayangnya,
Juga rindunya pada hamparan hijau,
Itulah cintanya,
Aduuuuh...
Jangan merajuk wahai awan,
sesekali menatap pelangi,
Ketika hujan rintik berhenti,
Pasti hati turut tersenyum sekali.

Isnin, 16 April 2012

Sekadar Khayalan?

Cahaya dibalik sebuah pandangan,
Menjadikan aku terfikir sejenak,
adakah ini satu dimensi,
atau hanya sekadar fantasi,
menjadikan aku leka pada satu ikatan,
yang terkadang aku terus berangan,
mana perginya si inang bersanggul dan kebaya pendek?
mana perginya pahlawan berkuda?
Berpantun seloka di taman astokana,
bersama si puteri cantik menawan
haruman bunga kenanga menjadi wangian,
diseri dengan bunga melati dan kuntuman mawar.

Khamis, 12 April 2012

Sentuhan rasa

Rindu kian disulam sendu,
Mohon berlabuh di hujung tanjung,
Semakin ingat hati jauh ke hulu,
Dendam kesumat pula tak tertanggung,
Lantaran terlontarnya satu cahaya,
Bersama kerdipan si kumang-kumang,
Walau berseri di hujungnya senja,
Namun terpahat degupan jantung..

ULANG-ULANGAN

Bukan lagi alang-alang,
Malah alang-alang bukan kepalang,
Bukan lagi jarang-jarang,
Malah jarang-jarang jadi jurang,
Bukan lagi kadang-kadang,
Malah kadang-kadang jadi binggung,
Bukan lagi alang-alang, jarang-jarang dan kadang-kadang,
Malah termenung-menung, terbayang-terbayang jadi terkenang-kenang...