Rabu, 30 November 2011

Senja di daerah kenangan....


Menyusuri pantai di daerah kenangan
membatasi butiran pasir
menatap warna jingga
memandang seribu harapan meski di garis ufuk merah.

Senja di pantai daerah kenangan
ku atur langkah nan perlahan
mengimbau sebuah ikatan
menanti satu pengharapan
sehangatnya tangan dalam genggaman

Senja di daerah kenangan
sesekali aku datang
memerhati pantai dan ombak
 sambil menunggu utusan si camar
    membawa bersama bayu dari seberang
Aku akan terus menatap senja
meski pun semuanya sekadar kenangan.


Kiambang



Kiambang akan bertautkah di tengah kekalutan,
bersama hanyutnya keladak hijau,
sedang dedaunmu melebar mendingin,
sedang akarmu  tak terjejak ke dasar bumi.

Kiambang akan terumbang-ambingkah kau dalam alunan,
meski riak cuma perlahan,
sambil kau menari dalam rentak kehidupan,
menyanyi kala kau kerinduan...

Kiambang,
Bungamu begitu indah menawan,
menjadi penyeri suaka walau tanpa haruman,
hanya menanti sinar mentari,
setiap detik memancar senyum dan menyapa tanya,
tentang kasih dan tentang cinta
namun kau hanya mampu menari dan menyanyi riang
mengikut rentak bayu mengalun awan...




Irama Tanpa Suara...

Kususun irama suara
di dalam satu rangkap
namun terdengar sumbang pada liriknya
ku cuba mengabadikan untuk tatapanmu
agar dapat mempersonakan hatimu
seperti seorang penyair pujangga.

Bagaimana ku susun
Irama tanpa suara
untuk kau menghayati dan mendengar
sedangkan aku tidak mampu
berbicara lembut dan lunak
apatah lagi memuji seorang insan
kerana aku bukan penulis syair yang indah
apa tah lagi berpuisi cinta.

Aku cuba mengatur irama tanpa bicara
sambil cuba ku membayangkan wajah
walau belum  mampu ku cipta
sebuah irama bernada
namun kalbuku mampu bersuara.....

...sebuah catatan ketika aku hampir tersesat di belantara Gunung Kinabalu..

                Masih belum terjawab sehingga sekarang....Ketika aku terpingga2 sendirian memilih dua jalan   di  balik kabus di kaki Gunung Kinabalu dan selepas aku baca surah Al-Fatihah tiba-tiba muncul seorang lelaki dari salah satu lorong dan bila aku menoleh dia terus menghilang tidak sempat aku bertanya apa-apa pada lelaki itu. Rupa-rupanya cerita itu tidak berhenti di sana sahaja...     

Selasa, 29 November 2011

Rindu ku di lembah ini..





Kerinduan ku pada dinginnya selimut kabusmu,
Keteguhan kasih ku pada puncak citamu,
Gagah mendongak ke awan cinta,
Indah dihias hamparan nan menghijau...

Kerinduan ku di lembah permata,
Seakan tidak mampu ku bendung kata-kata,
Ketika di sayup juwita,
Melemparkan seribu cinta...

Rindu ku di lembah ini,
Meruntun sebaris mimpi-mimpi,
Di kala hati hiba meratap sepi,
Pada indahnya pohon jejari,
Terleraikah rinduku,
Terungkaikah kasihku,
Meski pun sekadar menatap dari kejauhan,
Inilah rinduku pada lembah seribu cerita....

Isnin, 28 November 2011

...Ketitir dan Ombak

Kala ombak menghempas ke pantai dan lereng bukit,
Membawa bersama rumpai laut dan cengkerang siput,
Ketika itu juga tanah dan batu terlontar bersama ombak
Dan ketika itu aku ketitir menjadi gerun dan takut.

Aku ketitir yang hiba melihat keakraban laut dan pantai,
Menjadi marah pada ombak yang menunjuk gagah,
Aku ketitir yang merasa sayu memandang pantai,
Hati tersiat-siat memandang ombak,
Kerana keangkuhan ombak dan kesabaran pantai,

Sekadar Kiasan ....

                 ......   Kala jari tunjuk ke langit

               Kaki pula pijak ke bumi,

               Jangan kau biarkan telunjuk tajam ke mata,

               Kelak kau terus memandang ke bawah.... !

....di Lembah Kinabalu...

Di lembah kinabalu ini ada jiwa yang bisu,
ada jiwa yang lara, ada jiwa yang terluka...

Pergilah jiwa yang bisu,
bersama hembusan bayu di kaki kinabalu,
kiranya kau terhenti di sisi merbau dan pohon rhu,
kelak kau semakin diam dan kelu.

Pergilah jiwa yang lara,

bersama dinginnya air dari gunung kinabalu,
kiranya kau terus mengharapkan pada sang unggas alam,
kelak kau akan  semakin berdendam.

Pergilah jiwa yang terluka,

bersama doa di lambaian kinabalu,
kiranya kau bercerita dan mengadu pada sang Pencipta,
kelak kau akan rasa nikmat kurniaNYA.

Di lembah kinabalu ini tiada lagi jiwa yang bisu,
tiada lagi jiwa yang lara, juga tiada jiwa yang terluka....

Penantianku....

Rindunya aku pada haruman itu,

semerbak mengharum seluruh ruang kamar,

menghembuskan perlahan desir nafasmu,

sehingga merasa dinginnya ke sekujur tubuh,

bersama membisikkan kalimah-kalimah kasih Allah,



...Di malam yang tenang dan damai.

Maha suci mu Ya Allah,

telah memberikan aku nikmat kasihMu,

telah merasakan aku kehadiran rahmatMu,

meski pun pada aku yang terlalu kerdil di sisiMu

dan detik ini aku akan terus menanti hadirMu

akan terus mengharapkan sayangMu...


                          
              
                    

Berikan aku jawapan....?

                               
    Masih aku ingat lagi betapa dinginnya waktu itu,
  Berkumandang merdu kalimah-kalimah

  di malam yang tenang,

  Lalu membisik perlahan kalimah
 Allah Hu Ya Zahiru..


             
              Sehingga menggigil sekujur tubuhku,

               Mengalir air mata ku tanpa tangisan...

               Bilakah terjawab segala persoalan?

               Betapa besar rahmat dan kasihMU

               

Si Camar Pulang...

Aku seumpama si camar yang pulang,

dengan harapan segala keperitan ditinggalkan,
tapi rupanya si camar masih belum mampu bertahan,
membuang segala duka dan kesedihan.


Namun si camar ini akan terus membina satu harapan
sehingga ke dua sayapnya tak mampu lagi terbang ke


awan...!

Dengarlah ini.....

Janganlah kau ucapkan

jika setiap tutur mu penuh dengan kebencian
Seikhlasnya marah ini sudah terpadam

tapi cubalah kau faham,
janganlah kau cuba nyalakan ia menjadi dendam,

kerana SAGA itu tetap ku simpan menjadi satu cerita


meskipun kau sendiri tidak menghayati disetiap


perkataan....!

Andainya....

Andai hatiku hitam dibaluti hasad dan dendam,

Andai wajahku disaluti debu,

Andai tingkahku umpama ahli sihir yang kejam,

Andai kata-kataku tajam bak hunusan pedang,
Ku pohon dengan serendah-rendahnya paras tanah
dan senipis-nipisnya kulit bawang.........


Kau sinarkanlah kilauan Nur diwajahku
Kau berilah cahaya cintaMu di hatiku
  
Kau berilah nafasku dengan zikir kasihMu
Kau ikatlah sekujur tubuhku dengan kalimahMu
Aku sekadar tetamu yang singgah sementara....!

Kau tetap di hati...

Ketika insan lain lena dibuai mimpi indah,

aku berdiri merenung ke langit malam,

diterangi bulan dan bintang berkelipan,

betapa rasa rindu tidak keruan.

Ketika insan lain lena dibuai mimpi,

aku terus mencari-cari,

kenapa aku rasa kekosongan?

dan aku rasa begitu keseorangan?



Itulah yang selalu bermain dibenakku

meski wajah mu tidak pernah ku tatap

meski sekujur tubuhmu tak pernah ku lihat

namun kau tetap di hatiku

namamu sering bermain di bibirku

Nur kasihMu terusku rasakan.



Sayangilah aku seadanya Ya Allah,

Belailah aku dengan rasa syahduh MU,

Rinduku tidak tertanggung kerana kasih MU,

Senduku saban hari tanpa tangis,


Kau tetap di hatiku,

Kerana ku tahu Kau juga menyayangi aku,

Kau selalu mengingatkan aku,

Dengan segala ujian dan dugaan Mu,

Meski jasadku tidak tertanggung,

Namun naluriku semakin cuba kugagahi,

kerana ku tahu Kau pasti mengasihani aku.

Biarlah apa orang lain kata,

Biarlah apa yang mereka ucapkan,

kerana ku tahu Kau juga Kekasihku,

kerana ku tahu Kau tetap di hatiku.

Sejujurnya inilah....

Sejujurnya inilah rasa ku,

sedingin angin yang berlalu

terasa bak dentuman guruh

menggegarkan sekeping hati yang sendu.



Sejujurnya inilah yang ku fikirkan,

hangatnya hawa menyentap tubuh,

terasa bahangnya membakar ke tulang

menghangitkan sekujur tubuh yang lemah.



Sejujurnya inilah yang ku bayangkan,

sedinginya angin dari lembah,

terasa nyamannya menyentuh ke sukma,

menenangkan sekeping hati yang merintih.



Sejujurnya inilah yang ku dambakan

sebuah rasa yang bernyanyi girang

menghiburkan sebuah resah yang terbiar

dengan ungkapan dan perasaan sayang...



Sejujurnya inilah aku,

seorang insan yang ingin merasa bahagia,

seorang manusia yang  ingin sentiasa girang,

seorang yang  mencari ketenangan...

Ku intai kasih, ku cari cinta...?

Ku intai kasih,
dari sudut ruang tersembunyi,
sekilas kilau kemudian berlalu pergi,
seakan tak terdaya lagi,
mencari sebuah erti,
yang menjanjikan sebuah hati
namun sekadar pengubat kasih.

Ku mencari cinta,
dari sudut ruang maya,
menangis terkedu kesah,
seakan hanyut di depan mata,
mencari sebuah rasa,
yang menjanjikan mahkota
namun sekadar kata-kata.
Ku cari kasih dan cinta,
di sudut tersembunyi di alam maya
ku merasa nikmatNYA
segala anugerah dan kurnia yang dalam.

Apa sebenarnya?

                  Perjalanan kuteruskan.
            Meskipun tiada jawapan dari semua perasaan.
            Walaupun tiada butir kata yang diungkapkan
            Semakin jauh perjalanan ini semakin hati bertanya...
         
   Apa sebenarnya?
   
  Aku cuba mendapatkan jawapan dari semua  persoalan.
          Namun tak terdaya pula aku menangkis kemungkinan..
          Seandainya semua ini hanya gurauan ..
          Akan ku cuba meleraikan setiap butir senda..
                            
   Apa sebenarnya..?
   dari setiap perasaan,
   dari setiap jejak,
   dari setiap tingkah
   dan dari setiap butir kata...
   segalanya terbiar tanpa jawapan.. 

   walaupun ku pasti semua jawapan ada di sana...

Cuma sekadar ingat -mengingati

....Bila kau telah memulakan perjalanan janganlah kau
    berhenti kerana bila kau sudah berada di tengah-
    tengah jalan... kau akan berfikir semula samada kau
    akan teruskan perjalanan atau kau terpaksa
    berpatah balik.......!

Ketika itu..

Ketika dulu ku kenal erti cintamu

Kurasakan serinya mentari

Ketika dulu ku tahu maksud hatimu

Kurasakan senang sekali

Ketika itu bila ku faham erti luka

Kurasakan pedih sampai ke sukma

Ketika itu bila ku alami rasa kecewa

Kurasakan duri menusuk ke jiwa


Ketika ini ku cuba tahu cinta

Ketika ini ku cuba kenal hati

Ketika ini ku cuba hindari luka

Ketika ini ku cuba tidak kecewa

Ketika ini dan waktu begini

Kususuri arus kehidupan

Dengan menolak segala kemungkinan



Meski pun di ketika ini

Walaupun di waktu begini

Terpaksaku lawan segala perasaan

Meski ada cinta dan kecewa

Namun ketika ini dan waktu begini

Akan ku sulam cinta dengan rasa sayang

Akan ku balut luka dan kecewa

Kerana ku tahu ketika dulu dan ketika itu,

Takkan sama dengan ketika ini.......!

Memandang yang tak terpandang...

     Hari demi hari ku hitung waktu..
     Semakin rancak pula fikiranku melayang,
     Berligar ke satu sudut masih begitu jelas
     walaupun jaraknya beribu batu.

     Tapi bila aku memandang yang tak terpandang,
     Hati pula semakin kencang  degupannya.
     Mampukah aku meniti perjalanan
     tanpa memandang disekelilingku.....?

     Sanggupkah aku menempuhi semuanya dengan lebih
     tenang dan aman?
     Beranikah aku mengharungi satu garisan yang dulunya kian pudar?
     Redhakah aku dengan segenap hatiku selama ini dalam mencapai satu impian?

             Memandang yang tak terpandang,
             Aku rasa setiap mata memandang ke arahku....
             Menjadikan hati aku tidak damai dan tenteram...
             Menjadikan aku takut meniti jalan yang usang...
             Menjadikan hatiku terluka kembali.....

Memandang yang tak terpandang,
ku cuba tutup pandangan yang tak terpandang,
kerana ku tahu, apa yang aku pandang ,
bukan apa yang aku tak terpandang,
kerana aku juga tahu aku cuma akan terpandang apa yang
akan aku pandang....

Sesudah Subuh... ( sedetik di Selat Tebrau )

Biasanya di waktu begini sesudah subuh.... aku sudah berada di tengah jalan menuju ke tempat aku bertugas....Menyelinap menyusur setiap kenderaan yang
datang dengan besi-besi kebal yang sudah menjadi rimba
hidup di bandaraya Johor....

Dan waktu begini jugalah aku merasa dingin embun pagi
yang sering menjadi kanvas pandanganku... Biasanya aku
juga sering dihiburkan dengan celoteh di saluran Sinar.
Rerbiasanya aku akan turut sama menyanyi bila lagu yang
dihidangkan merupakan lagu kesukaanku....Cinta (amy
mastura) Puteri ( zainal abidin ).

Tapi waktu cuti begini sesudah subuh aku mulakan dengan
suatu azam...azam yang entah jadi entah tidak untuk menjadikan aku lebih bertenaga untuk meneruskan kehidupanku....
Semangat dari Kinabalu Ke Seberang Tambak Johor ....di Selat Tebrau...!


Teman, Andai bisa saja....


Andai bisa saja aku kutip butiran mutiara di dasar lautan,

Akan aku kutip lalu ku jadikan barisan untaian,

Andai bisa saja aku kumpulkan kilauan cahaya,

Akan aku jadikan obor yang terang benderang,

Andai bisa saja aku simpan titisan embun,

Akan ku dinginkan ke segenap tubuh,

Andai bisa saja aku sematkan kelipan bintang.

Akan kujadikan keronsang kilauan di dadamu.... 

Teman,

Sendumu dikala aku berduka,

Senyum mu juga penawar lukaku...