Khamis, 1 Disember 2011

Aku Bukan Mahsuri

( Sebuah kenangan kala aku mencari-cari salahku ....) satu catatan dalam dairi 21/07/96 ( 5.40 pm) KK


Mampukah aku menjadi mahsuri
atau akukah berdarah mahsuri
ataukah aku antara seterumu mahsuri
lemas dalam pelbagai cabaran
terkujur kaku seolah-olah nafasku tersekat
tersimbah seribu kebencian
kedegilan nafsu di kalbuku yang kelam.

Di mataku hanya terpancar prasangka
pada mereka yang mengkhianat jiwa dan perasaanku
bagai mengoyak jiwaku yang mulai kosong
angkara kata-kata kesat
yang dulunya memuji-muji kebaikkanku
dan kini memaki hamun keburukkanku
kerana kasih yang tidak diundang
tiba-tiba datang menerpa
antara dua insan
dengan sebuah senyuman
dengan seribu keikhlasan
pada diriku yang rasa diabaikan
tapi mampukah aku menjadi sepertimu Mahsuri
seorang wanita yang gagah
seorang wanita yang hampir sempurna.

Wajarkah aku menjadi Mahsuri
tidak pula mampu menolak segala kata-kata kesat
dari manusia berjiwa keparat
bagai menolak keladak dari rimbunan teratai.

Mengapa aku tidak sepertimu Mahsuri
setia pada sebuah cinta
jujur pada satu ikatan
meskipun kasih itu semakin hambar dan menyepi
dibohongi dan diracuni perasaannya
seumpama tiada haruman dari sakura dan mawar merah.

Andai aku sepertimu Mahsuri
akanku abadikan sumpahku
pada tujuh keturunan kerabat
yang menghancurkan sebuah kehidupan
dan menyiat-yiatkan kebahagianku
lalu dilambung bagai debu diawangan
berserak tidak ketentuan,

Tapi aku bukanlah Mahsuri
aku wanita yang lemah dilanda rasa
terlalu payah menerima sebuah hakikat
kerana aku bukanlah berjiwa sepertimu Mahsuri
seorang wanita yang begitu berani....      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan